‘Tidak derhaka, hanya merayu ihsan Agong untuk menimbang semula’

‘Tidak derhaka, hanya merayu ihsan Agong untuk menimbang semula’

Warkah oleh ahli-ahli parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menimbang semula pengisytiharan darurat bukanlah satu
penderhakaan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, warkah oleh ahli parlimen – yang dakwa Anwar sudah lebih daripada bilangan majoriti – hanyalah merupakan rayuan
kepada Agong untuk mempertimbangkan semula pengisytiharan darurat, dan apa pun keputusan Agong tetap akan diterima oleh mereka.

“Sekarang ini ahli parlimen yang menulis warkah kepada Agong itu sudah mencecah lebih daripada majoriti.

“Maknanya, majoriti, (yang) bukan membantah, (tetapi) merayu ihsan dan kebijaksanaan Agong untuk menimbang, melihat semula, mengkaji alasan-alasan, yang kami kira, (alasan) yang dibawa oleh perdana menteri itu tidak munasabah, tak cukup kuat.

“Maka mohon Agong menimbang, dan kita terima keputusan, kebijaksanan Agong,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook tadi.

Katanya, ahli-ahli parlimen berkenaan berasa bertanggungjawab untuk terus menyuarakan pandangan rakyat berkenaan masalah dihadapi mereka menerusi platform parlimen, yang kini digantung gara-gara darurat.

Sedangkan, parlimen adalah tempatnya di mana menteri “mesti” mendengar soalan yang dibangkitkan dan harus memberikan penjelasan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pula dikatakan menghantar surat kepada ahli parlimen parti itu untuk meminta persetujuan mereka untuk sidang parlimen khas diadakan, di bawah perkara 150(3) Perlembangaan Persekutuan.

Baca Juga : ‘Surat SUA Umno berniat bersekongkol dengan DAP, derhaka pada Agong’

Selain PH, pengisytiharan darurat nampaknya turut dikritik oleh tokoh dalam Umno, antaranya menuduh Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin mahu terus berkuasa setelah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagi pihak yang mempertahankan darurat, mereka menyifatkan pandangan yang tidak selari dengan pengisytiharan darurat sebagai menderhaka kepada Agong.

Sumber Artikel

COMMENTS