SPRM berjaya tahan suspek penghantaran kartel daging

SPRM berjaya tahan suspek penghantaran kartel daging

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada Isnin telah menahan seorang lelaki berusia 55 tahun kerana disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging.

Suspek yang merupakan ejen penghantaran ditahan di Pejabat SPRM Johor jam lebih kurang 8 malam Isnin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada pagi ini, bagi permohonan reman,” katanya.

Khamis lalu, dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor dilaporkan direman lima hari hingga hari ini.

Kedua-dua pegawai Maqis yang berusia 27 dan 31 tahun itu dilaporkan direman mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

COMMENTS