PRN Sarawak : “madu di tangan kananmu, racun di tangan kirimu” – Abang Johari

PRN Sarawak : “madu di tangan kananmu, racun di tangan kirimu” – Abang Johari

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengakui serba salah memikirkan soal Pilihan Raya Negeri (PRN) yang terpaksa diadakan ketika negeri masih dilanda pandemik COVID-19.

Malah, beliau menggambarkan situasi dihadapi kerajaan negeri ketika ini ibarat lirik lagu popular 1980-an iaitu ‘Madu dan Racun’.

Mengulas lanjut, katanya beliau dan Kabinet negeri pimpinannya dalam dilema untuk mengadakan PRN ke-12, meskipun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sudah hampir tamat.

Beliau mengakui serba salah berikutan pandemik COVID-19 melanda ketika Sarawak bersedia untuk mengadakan PRN-12 bagi membolehkan kerajaan negeri mendapat mandat baharu.

“Seperti lirik lagu itu, “madu di tangan kananmu, racun di tangan kirimu” begitulah apa yang kita hadapi ketika ini.

“Sekarang, kita berada di tengah-tengah (tidak ke kanan atau ke kiri). Penggal kita (DUN Sarawak) dah nak habis, mandat (kerajaan negeri sekarang) pun dah nak habis, macam mana kita hendak mengatur keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata, apa keadaan sekali pun, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih ‘madu’ dengan mengutamakan rakyat dalam keadaan pandemik semakin meruncing.

“Kami tidak akan membiarkan rakyat Sarawak terdedah kepada ancaman wabak itu dan akan terus memastikan keselamatan kesihatan rakyat lebih penting daripada pilihan raya,” katanya.

Konvensyen Khas PBB diadakan mengikut zon berikutan prosedur operasi standard (SOP) menangani pandemik COVID-19 yang melarang perhimpunan beramai-ramai.

Sebelum ini, konvensyen serupa diadakan di Zon Utara meliputi kawasan Miri, Limbang, Lawas dan Bintulu, diikuti Zon Tengah iaitu Sibu, Mukah, Sarikei dan Kapit, kemudian Zon Betong yang meliputi Betong serta Sri Aman.

Hari ini, tiba pula giliran Zon Selatan membabitkan Kuching, Serian dan Kota Samarahan.

COMMENTS