Perlukah pembinaan dewan masyarakat bernilai RM35 juta?

Perlukah pembinaan dewan masyarakat bernilai RM35 juta?

KUALA LUMPUR: Dewan masyarakat bagaimana yang memerlukan kos pembinaan mencecah RM35 juta?
Itu persoalan yang dibangkitkan beberapa pihak selepas pendedahan satu surat yang dipercayai ditandatangani Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nor Azri Zulfakar, kepada Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman, mengenai projek di Parlimen Pagoh.

Dalam surat yang tular tu, Nor Azri didakwa telah memaklumkan kepada Mohamad Zulkefly, bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju meluluskan peruntukan RM35,435,992.00 bagi pelaksanaan projek pembinaan dewan di kawasan Parlimennya itu.

“Beliau (Perdana Menteri) juga memohon supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) dilantik sebagai pelaksana projek-projek ini.

“YAB Perdana Menteri juga turut menyatakan hasrat beliau agar pelaksanaan projek-projek ini dapat dimulakan dengan secepat mungkin. Oleh yang demikian YBhg. Datuk dimohon untuk mengambil segala tindakan yang dapat memastikan projek-projek ini bermula di tapak pada 1 Mac, 2021,” menurut surat itu lagi.

Berikutan penularan surat tersebut, beberapa pihak membangkitkan persoalan tentang keperluan pelaksanaan projek yang dinyatakan, apatah lagi ia dilihat menggunakan peruntukan JPM secara terus kepada pelaksana projek.
Sementara itu, seorang pegawai kerajaan memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa semua projek Persekutuan di negeri-negeri perlu melalui ICU.

“Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri adalah Menteri Besar. MB mesti tahu projek ni. Dalam surat itu pun tak dijelaskan berapa banyak dewan akan dibina. Perenggan dua ada menyatakan ‘projek-projek’…mungkin lebih daripada satu dewan.

“Perenggan empat pun ada tulis ‘senarai projek’. Kalau dapat lihat senarai projek tu, bolehlah tahu justifikasi dana RM35 juta ni,” ujarnya lagi.

Pemeriksaan lanjut Astro AWANI mendapati terdapat tiga projek yang dilampirkan dalam senarai bersama-sama surat tersebut, iaitu pembinaan Dewan Gersik, di Tangkak (RM13,000,000.00), Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16,660,992.00), dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5,775,000.00).

Ketiga-tiga projek tersebut menelan kos pembinaan sebanyak RM35,435,992.00.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz pada November lepas, JPM telah diberi peruntukan khas RM 1 bilion di bawah Butiran Projek (93500) “Projek Khas”.

Peningkatan jumlah yang mendadak daripada RM100 juta untuk Belanjawan sebelumnya, telah menimbulkan bantahan keras daripada pihak pembangkang, khususnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sumber: Astro Awani

COMMENTS