PANAS! : Zahid tuntut jawatan Tim. Perdana Menteri, gugur sebahagian menteri Umno

PANAS! : Zahid tuntut jawatan Tim. Perdana Menteri, gugur sebahagian menteri Umno

Portal MalaysiaNow mendakwa Ahmad Zahid turut menuntut agar sebahagian daripada pemimpin parti UMNO disingkirkan daripada Kabinet.

Malah, Ahmad Zahid didakwa turut menuntut dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum menyenaraikan nama pemimpin UMNO yang perlu digugurkan daripada Kabinet.

Antara senarai menteri yang didakwa mahu digugurkan adalah Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Tuntutan tersebut didakwa dibuat dalam pertemuan Perdana Menteri bersama dengan Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 17 Oktober.

Pertemuan tersebut pada awalnya dijadualkan bagi membincangkan tentang Muafakat Nasional (MN). “Pada akhir perbincangan, Muhyiddin bertanyakan Ahmad Zahid mengenai surat sokongannya kepada Anwar yang dihantar ke Istana Negara.

“Seorang pegawai Muhyiddin kemudiannya menyerahkan surat itu kepada (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin yang kemudiannya memberikannya kepada Presiden Pas. Abdul Hadi menunjukkan reaksi amat terperanjat,” lapor portal tersebut.

Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Hamzah selaku Setiausaha Agong Bersatu.

Tuntutan yang dibuat Ahmad Zahid itu digambarkan telah “memanaskan” lagi pertemuan tersebut, sebelum Perdana Menteri dilaporkan bertanya apa sebetulnya yang dimahukan oleh Presiden UMNO itu.

“Ahmad Zahid jawab Perdana Menteri mungkir janji,” kata sumber dalaman itu. “Muhyiddin kemudian berkata tidak pernah menjanjikan apa-apa. Ahmad Zahid kemudian berkata, apabila UMNO menyokong Bersatu untuk menubuhkan kerajaan, ia adalah untuk Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan bukannya Muhyiddin.

“Muhyiddin tanya lagi apa lagi yang Ahmad Zahid tidak puas hati. Ahmad Zahid kata dia sebagai Presiden UMNO tidak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri,” lapor MalaysiaNow yang memetik sumber.

Perdana Menteri kemudian memberitahu Ahmad Zahid bahawa beliau tidak mencampuri urusan mahkamah. “Namun sebagai rakan, Muhyiddin berkata dia mendoakan Zahid akan dibebaskan.”

Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskan beliau.

Berita Penuh : Astro Awani

COMMENTS