Muhyiddin cuba selamatkan diri dengan darurat, memadai dengan PKP

Muhyiddin cuba selamatkan diri dengan darurat, memadai dengan PKP

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak alasan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu melaksanakan darurat berkuat kuasa hingga 1 Ogos bagi membendung penularan Covid-19.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama menganggap undang-undang sedia ada termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memadai untuk menangani wabak Covid-19.

“Undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumum semalam, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini.

“Sebagai contoh, dalam isu mengambil alih hospital-hospital swasta untuk membantu dalam kes-kes COVID-19, hospital-hospital swasta ini memang bersedia membantu pihak kerajaan dan kuasa darurat tidak diperlukan untuk mendapatkan kerjasama mereka,” katanya selepas Majlis Presiden PH mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu pengisytiharan darurat.

Bagaimanapun, PH bersetuju sekiranya darurat diadakan di kawasan yang berlaku kekosongan kerusi serta mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2023.

“Bagi PRN Sarawak pula, ia tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021, manakala Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pula hanya perlu diadakan menjelang 2023. Oleh itu, alasan yang dikemukakan Muhyiddin dalam isu ini tidak dapat diterima sama sekali,” katanya.

Justeru, katanya, PH menganggap tindakan menggantung Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala akan menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.

Katanya lagi, kuasa darurat itu akan memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja sewenang-wenangnya.

“Majlis Presiden turut menimbulkan kerisauan bahawa pengisytiharan darurat akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur dan tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan di kalangan rakyat.

“Oleh itu, tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen, termasuk Machang dan Padang Rengas tidak boleh diterima sama sekali. Jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat dengan pengisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” katanya.

 

– UTUSAN

COMMENTS