Muhyiddin bukan “ABAH” yang baik, amalkan pilih kasih! – Raja Kamarul Bahrin

Muhyiddin bukan “ABAH” yang baik, amalkan pilih kasih! – Raja Kamarul Bahrin

Ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lalu membawa banyak kritikan serta kecaman dari rakyat. Mereka kecewa apabila ucapan yang dinanti untuk membawa khabar gembira, hanya sekadar ucapan kosong dan meletak kesalahan kepada orang lain.

Tan Sri Muhyiddin suka membahasakan dirinya sebagai “Abah” untuk cuba mendekatkan dirinya dengan rakyat. Untuk diterima sebagai seorang “abah” beliau dilihat cuba untuk menunjukkan sifat seorang bapa yang prihatin, adil dan penyayang. Namun, seorang abah yang sebenar perlu menunjukkan sikap prihatin terhadap kesemua anak-anaknya tanpa pilih kasih.

Rakyat cukup kecewa dengan tindakan Kerajaan Pusat yang telah mencetuskan Pilihanraya negeri Sabah baru-baru ini apabila kerajaan Pusat cuba menukar kerajaan Negeri dengan ‘dakwaan ada perpindahan’ bilangan wakil rakyat bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Apabila Tuan Yang di Pertua Negeri Sabah menolak permohonan tersebut, ia telah menyebabkan tercetusnya Pilihanraya negeri Sabah. Ini berlaku semasa negara mula bergelut dengan gelombang ketiga wabak Covid 19.

Dengan PRN Sabah berlakulah jangkitan Covid yang lebih luas sehingga merebak ke seluruh semenanjung. Rakyat melihat semua ini terjadi kerana kerakusan nafsu politik sehingga keselamatan mereka tergadai dan mereka bertambah derita.

Bila mana rakyat biasa digesa mematuhi SOP Covid 19 dan dihukum keras dengan denda RM1000.00 dan penjara kerana tidak mematuhi SOP, Menteri-menteri serta pegawai tinggi kerajaan bebas melanggar dan mengabai peraturan peraturan tersebut.

Insiden ‘pilih kasih’ pertama kita lihat, seorang Menteri yang pulang dari Turki tidak mematuhi SOP kuarantin dengan terus ke Parlimen, Istana Negara dan majlis rakyat sangat mengecewakan.

Terbaharu, menteri agama yang baru pulang dari Sabah semasa tempoh pilihanraya negeri bebas menghadiri berbagai majlis diseluruh negara tanpa memakai penutup muka seperti sepatutnya atau mengamalkan penjarakan sosial seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Beliau sekarang di dapati positif Covid 19.

Sehingga hari ini rakyat melihat tiada tindakan tegas di ambil keatas mana mana menteri menteri tersebut sementara rakyat biasa terus ditangkap dan disaman.

Menteri dan ahli politik kerajaan berkempen terus di Sabah tanpa mengenakan pelitup muka dan ini di siarkan oleh media secara luas tanpa segan silu.

Rakyat turut menegur menteri- menteri termasuk Menteri Pendidikan yang berminggu melawat Sabah kerana pilihanraya negeri tetapi tidak berusaha menyelesaikan masalah yang timbul kesan dari Covid-19 di sekolah-sekolah terutama di Kedah yang menghadapi masalah.

Abah mesti berlaku adil kepada semua anak-anak nya tanpa memilih kasih. Kalau abah hendak rotan rakyat pun seperti di sebut Tan Sri Muhyiddin dalam ucapannya , hendaklah berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman.

Jangan anak emas yang bergelar Menteri diberi layanan istimewa sementara anak anak lain dijatuhkan hukuman keras. Rakyat sentiasa memerhati.

Ugutan hendak di rotan membuat rakyat tersinggung kerana mereka menuntut keadilan untuk semua. Kalau rakyat diminta memakai penutup muka, Menteri pun buatlah yang sama. Jika rakyat pulang luar negara kena kuarantin diri, Menteri pun mestilah tunjuk contoh yang baik dan buat yang sama.

Semalam, Kerajaan mengumumkan rakyat akan disaman segera, “on the spot”, ditempat kesalahan SOP berlaku. Sementara itu rakyat masih menanti nanti, selepas hampir 2 bulan, hukuman kesalahan Menteri pulang dari Turki tanpa kuarantin dilaporkan masih dalam “siasatan demi siasatan lanjut” di antara pihak polis dan peguam Negara.

Begitu susah dan rumitnya hendak mendakwa seorang Menteri untuk kesalahan yang rakyat biasa dihukum denda dan dipenjara serta merta sejurus lepas kesalahan.

Begitu senang mendakwa dan menghukum rakyat biasa yang susah dan miskin tetapi begitu rumit, berkerenah dan berliku liku proses mendakwa dan menghukum seorang Menteri. Dato Seri Najib sendiri mendesak Menteri tersebut di dakwa di Mahkamah.

Abah Muhyiddin bukan hanya perlu berlaku adil kepada anak anaknya, tetapi dia juga perlu kelihatan, dikaca mata rakyat, cuba bersungguh sungguh untuk berlaku adil kepada semua.Sekarang ugutan abah untuk merotan anak disambut dengan senyuman sinis oleh rakyat.

Ini termasuklah oleh anak yang bergelar Menteri yang tidak fikir abah akan merotannya kerana abah takut Kerajaan tumbang. Nampaknya kerusi empuk abah dan menteri menteri lagi penting dari kesejahteraan dan keselamatan nyawa rakyat biasa.

Rakyat terus menunggu dan masih menaruh harapan untuk keadilan yang adil dan saksama untuk semua anak anak Abah.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu

Sumber :

KASIH ANAK SECARA TERPILIH OLEH ABAH.8 Oktober 2020.1. Ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6…

Posted by Raja Kamarul Bahrin Shah on Wednesday, October 7, 2020

 

COMMENTS