MP Tuaran jemput wakil rakyat Umno yang ‘bersih’ sertai PH Plus

MP Tuaran jemput wakil rakyat Umno yang ‘bersih’ sertai PH Plus

Lebih ramai anggota parlimen BN dijangka akan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau mengajak wakil rakyat terbabit menyertai Pakatan Harapan (PH) Plus dengan syarat mereka tidak mempunyai kes di mahkamah.

Sebelum ini, Upko merupakan parti komponen BN, namun sejak pilihan raya negeri (PRN) Sabah lalu, parti itu bersama Warisan menjadi sebahagian komponen PH Plus, yang turut dianggotai PKR, DAP dan Amanah.

“Kepada rakan ahli parlimen, Ahmad Jazlan, Nazri Aziz, Tengku Razaleigh Hamzah dan kawan lama dalam Barisan Nasional (BN) yang tinggalkan Muhyiddin bukan kerana kes mahkamah, saya ingin mengajak kalian sertai kami dalam PH Plus bagi berbincang dasar alternatif pasca Muhyiddin dan pasca PN,” kata anggota parlimen Tuaran itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Wilfred berkata, anggota parlimen mempunyai tugas untuk menawarkan polisi demi kepentingan jutaan rakyat Malaysia yang kini menderita akibat langkah Muhyiddin ‘menyelamatkan jawatannya’ dengan mengisytiharkan darurat.

Semalam, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz menjadi wakil rakyat ketiga daripada Umno yang mengumumkan keputusan menarik diri daripada menyokong Muhyiddin.

Ini menyebabkan PN kini menjadi kerajaan minoriti dengan hanya memiliki sokongan 109 ahli parlimen.

Ketua Umno bahagian Padang Rengas itu turut membayangkan lebih ramai anggota parlimen Umno akan membuat pengumuman sama dalam masa terdekat.

Sumber: MalaysiaKini

COMMENTS