Menteri KPWKM sah positif Covid-19

Menteri KPWKM sah positif Covid-19

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun disahkan positif COVID-19

Beliau mendapat keputusan ujian saringan malam tadi.

Pejabat Menteri dalam kenyataan media menyatakan Rina, 47, menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Putrajaya, pada pagi semalam.

Dua hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif COVID-19.

Rina dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh jam 11 pagi ini bagi pemantauan lanjut.

Menurut kenyataan itu, Ahli Parlimen Titiwangsa itu akan mematuhi garis panduan berkaitan jangkitan COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Beliau memohon maaf jika perkara ini menimbulkan apa jua kesulitan dan keresahan kepada semua dan memohon agar Allah SWT mempermudah segala urusan untuk semua.

“Beliau juga akan memastikan, semasa ketiadaan beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan meneruskan kerja kebajikan, pembelaan, pemerkasaan dan pembangunan untuk kumpulan sasar dan segala operasi kementerian akan tetap berjalan seperti biasa,” kata kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan, semua menteri Kabinet akan menjalani ujian saringan COVID-19, susulan Mustapa disahkan positif.

Selain Jemaah Menteri, turut diarahkan menjalani ujian saringan ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan semua yang hadir dalam mesyuarat parti itu, Rabu lalu.

Perkara itu disahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi yang menjelaskan semua menteri Kabinet diminta berbuat demikian, hari ini.

Sumber: Berita Harian

COMMENTS