Manfaatkan Sains dan Amalan Terbaik Untuk Melawan Covid-19

Manfaatkan Sains dan Amalan Terbaik Untuk Melawan Covid-19

Sekumpulan bekas menteri dan timbalan menteri menggesa kerajaan untuk menggiatkan ujian berskala besar Covid-19 susulan lonjakan jumlah kes baru, kebanyakannya tidak bergejala.

Gesaan ini datang sehari selepas jumlah kes baharu harian mencatatkan rekod 3,027 kes, mengatasi jumlah tertinggi sebelumnya iaitu 2,593 pada Rabu.

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas timbalannya, Dr Lee Boon Chye, dan bekas menteri tenaga, sains, teknologi, persekitaran dan perubahan iklim Yeo Bee Yin dan bekas timbalannya, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata kerajaan harus menyahut seruan pakar perubatan dan menjalankan ujian secara besar-besaran.

“Oleh kerana begitu banyak kes positif tidak simptomatik (kira-kira 80%), ujian saringan besar-besaran menjadi sangat penting bagi membolehkan pengasingan awal dilakukan dan mencegah penyebaran serta ‘tumpahan’ tidak terkawal dalam masyarakat,” kata mereka dalam kenyataan.

Mereka berkata, dengan kapasiti pengujian mencecah 80,000 ujian PCR sehari, negara mampu melakukan ujian berskala besar di kawasan-kawasan yang disasarkan.

Sekiranya kos menjadi isu, kata mereka, ujian Antigen RTK yang lebih murah dan cepat boleh menjadi alternatif yang berkesan.

“Sememangnya apabila kita melakukan lebih banyak ujian saringan, jumlah kes positif akan dilihat meningkat buat sementara waktu.

“Namun, ini bukan masanya kita menyembunyikan kepala ke dalam pasir. Kita mesti berdepan dengannya, cari semua kes positif di kalangan kita dan asingkannya,” kata mereka.

Mereka berkata usaha untuk membuat ujian secara besar-besaran harus dimulakan dengan saringan di lokasi-lokasi berisiko tinggi, seperti penempatan pekerja asing, penjara, dan komuniti di sekitarnya.

Menurut mereka, kerajaan perlu melabur dalam ujian skala besar sekarang kerana harga kemanusiaan dan nilai ekonomi yang mungkin perlu ditanggung di kemudian hari tanpanya akan mengatasi kos ujian saringan besar-besaran di peringkat awal.

Mereka juga meminta supaya sistem pengesanan kontak diperbaiki. Kata mereka, aplikasi MySejahtera hanya dapat mengesan secara langsung sekitar 4% daripada jumlah kes yang dilaporkan.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan belum sepenuhnya memanfaatkan analisis data besar menggunakan data yang dikumpul melalui MySejahtera dan menggabungkannya dengan data lain dalam sistem kerajaan dan juga data terbuka yang boleh dikaji, seperti kiriman dengan metadata dan tag yang digunakan di media sosial, serta membangunkan kaedah terkini yang lebih canggih untuk mengesan kes positif dalam masyarakat,” katanya.

Rindu mantan Menteri2 dan Timbalan2 Menteri ini, ikuti kenyataan media mereka bertarikh 8 Januari 2021…

Posted by Hannah Yeoh on Thursday, 7 January 2021

COMMENTS