Larangan merokok kerajaan PH yang buat dahulu bukan PN!

Larangan merokok kerajaan PH yang buat dahulu bukan PN!

Pelanggan kedai makan di sekitar Lembah Klang berkata, ramai perokok melanggar larangan merokok yang dikuatkuasakan sepenuhnya sejak 1 Jan lalu atas alasan “kerajaan sudah bertukar”.

Mohamad Zulkifly Ahmad mendakwa penguatkuasaan terhadap larangan merokok dianggap lemah kerana penguat kuasa tidak kelihatan.

Katanya, ada perokok yang bukan saja tidak mempedulikan teguran pekerja kedai makan, malah bertindak memarahi pekerja terbabit kerana menganggap larangan itu tidak lagi relevan selepas pertukaran kerajaan.

“Mereka tak takut. Sekarang ramai merokok dalam kedai dan tidak ikut SOP sebelum ini.

“Simbol larangan merokok masih ada di kedai makan dan restoran, cuma saya lihat penguatkuasaan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa tempatan kurang,” katanya kepada FMT.

Ogos lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, larangan merokok masih dikuatkuasakan di kedai makan dan restoran terbuka, termasuk menggiatkan aspek penguatkuasaan, dengan penguat kuasa masih aktif turun padang jika mendapat aduan orang ramai.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai memainkan peranan dengan melaporkan individu yang melanggar larangan merokok kepada penguat kuasa KKM.

Larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka, tetapi perokok masih dibenarkan merokok pada jarak 3m dari premis makan.

Larangan itu dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Jan 2020, selepas 12 bulan penguatkuasaan pendidikan dijalankan sejak 1 Jan 2019.

Berdasarkan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, individu yang melanggar larangan merokok boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun, manakala pengusaha kedai makan pula boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan.

Seorang lagi pelanggan kedai makan, Nosdin Zuki berkata, larangan itu perlu terus dilaksanakan tanpa mengira parti mana yang menjadi kerajaan.

Selain tidak mematuhi larangan itu, katanya, perokok turut membuang puntung rokok merata-rata.

“Ada perokok yang ikut larangan itu dan ada yang tidak ikut sebab kerajaan dah bertukar.

“Saya lihat larangan itu sudah tergantung. Sepatutnya ia dikuatkuasakan betul-betul.

“Saya tidak nampak mereka yang langgar peraturan itu kena saman atau tidak. Mungkin terlepas pandang.”

Berita Penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/26/tukar-kerajaan-jadi-alasan-langgar-larangan-merokok-kata-pelanggan-kedai-makan/

COMMENTS