Koperal Baharuddin selamat disemadikan

Koperal Baharuddin selamat disemadikan

Jasad mendiang Koperal Baharuddin Ramli daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Sungai Sampo hari ini.

Mendiang selamat dikebumikan pada 12.20 tengah hari dengan penuh tradisi kepolisan.

Upacara pengebumian yang berlangsung dalam keadaan cuaca mendung dan suasana pilu, dihadiri ratusan orang bagi memberi penghormatan terakhir.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kejadian 3.10 pagi semalam, Baharuddin, 54, terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan penyeludup manakala rakannya, Koperal Norihan a/l Tari, 39, mengalami kecederaan parah, dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.

Mendiang yang berasal dari Kampung Sungai Sampo di sini meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berumur antara 18 hingga 32 tahun.

Sementara itu, bapa mendiang, Ramli Derus, 75, menyifatkan anak sulungnya itu seorang anak yang baik dan sering bertanya khabarnya.

Katanya, mendiang amat meminati kerjaya sebagai anggota polis sejak dari kecil.

“Berita kematiannya agak menyedihkan saya. Dia selalu telefon saya bertanyakan khabar,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Ramli berkata seingatnya kali terakhir mereka bertemu adalah pada Oktober lepas.

“Kalau telefon, dalam minggu lepas semasa dia bertugas di sana (Padang Besar, Perlis),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dalam urusan pengebumian anaknya itu.

— BERNAMA

COMMENTS