Kelantan dan Sibu pula dikenakan PKP mulai esok

Kelantan dan Sibu pula dikenakan PKP mulai esok

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasakan di Sibu, Sarawak dan Kelantan, berkuat kuasa esok hingga 29 Januari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini susulan peningkatan mendadak bilangan kes positif COVID-19 membabitkan kluster rumah panjang di Sibu dan kluster dalam komuniti di Kelantan.

Katanya, Sibu dan Kelantan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP diguna pakai di enam negeri yang dimaklumkan kerajaan, sebelum ini.

“PKP akan membabitkan ketiga-tiga daerah di Bahagian Sibu iaitu daerah Sibu, Selangau dan Kanowit.

“Kebanyakan kes adalah dari Kluster Pasai yang merekodkan sebanyak 394 kes daripada jumlah kes secara keseluruhan. Kluster ini membabitkan 18 rumah panjang di seluruh Bahagian Sibu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengenai peningkatan kes COVID-19 di Kelantan, Ismail Sabri berkata, purata kes harian meningkat antara 80 hingga 100 kes sehari, manakala jumlah kes aktif juga meningkat mendadak dalam tempoh 14 hari dari 328 kepada 891 kes, sejak 10 Januari lalu.

“Kementerian Kesihatan turut mengesahkan 90 peratus daerah di Kelantan kini dalam zon merah dan jingga. Masing-masing tujuh daerah zon merah, iaitu di Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Gua Musang, Machang, Kuala Krai dan Tanah Merah.

“Dua daerah zon kuning, masing-masing di Pasir Puteh dan Pasir Mas, manakala satu daerah zon jingga, Jeli,” katanya.

COMMENTS