Jangan ada sesiapa yang berani singkirkan Ahmad Zahid – Ahmad Jazlan

Jangan ada sesiapa yang berani singkirkan Ahmad Zahid – Ahmad Jazlan

MACHANG: Jangan ada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekeruhan termasuk mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur atau menolak beliau, tegas Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu meminta pihak tertentu supaya bersabar dan menghormati amalan demokrasi yang diamalkan dalam parti.

“Jangan ada pihak yang cuba menimbulkan kekeruhan di saat parti berdepan dengan sesuatu tugasan besar untuk jadi penyemak dan imbang kepada kerajaan hari ini.

“Kalau kita terus timbul pergolakan dengan memberi tekanan supaya Pesiden parti berundur belum sampai tempoh masa, bererti kita tidak hormati sistem demokrasi dalam parti,” katanya, di sini pada Khamis.

Katanya, jawatan presiden parti diperoleh melalui pemilihan dan bukannya melalui lantikan.

“Apabila sampai masa yang sesuai, dapatkan sokongan dari akar umbi dan tawar diri bertanding,” tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menjelaskan, bukan sebab untuk pertahankan atas nama Zahid Hamidi, sebaliknya ia kerana nama institusi presiden.

Beliau dalam masa yang sama tidak menolak kemungkinan terdapat usaha dan gerakan ke arah mencabar presiden secara tersusun.

Sebelum ini terdapat kenyataan daripada sayap Pemuda di beberapa bahagian meminta Ahmad Zahid berundur.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa Yang mendakwa UMNO sudah berpecah kepada tiga kumpulan, Ahmad Jazlan mendakwa, perpecahan hanya berlaku dalam kalangan pemimpin yang mencetuskan polemik berpanjangan kerana akar umbi masih setia kepada parti dan institusi presiden.

Sumber: Astro Awani

COMMENTS