J-KOM jenama baru untuk “propaganda” kerajaan?

J-KOM jenama baru untuk “propaganda” kerajaan?

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, mempertikaikan tindakan kerajaan yang menjenamakan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) disebalik desakan untuk membatalkan peruntukan bagi unit berkenaan.

Beliau berkata, isi jawapan yang dibentangkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah hanyalah langkah terdesak setelah dikecam pelbagai pihak.

Katanya, penjenamaan semula iahaa tu sama sekali tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan berhubung keperluan penubuhan unit berkenaan dalam keadaan negara berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi.

“Peruntukan untuk Bernama telah dikurangkan sebanyak RM12 juta, RTM dikurangkan hampir RM100 juta, Jabatan Penerangan dikurangkan sebanyak lebih RM10 juta dan FINAS pula dikurangkan sebanyak RM3 juta.

“Mengapa peruntukan untuk agensi-agensi di bawah KKMM ini dikurangkan sedangkan Jasa atau J-Kom diperuntukkan lebih RM80 juta?

“Meskipun Menteri menyebut bahawa peruntukan itu akan dikurangkan, namun bukankah itu menunjukkan agensi-agensi ini tidak ada keupayaan untuk melaksanakan objektif dan peranan mereka sehingga perlu diwujudkan Jasa atau J-Kom?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi Kementerian KMM, Saifuddin memberitahu, J-Kom bermatlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat yang tepat, sahih serta bijaksana.

Sementara itu, Syed Ibrahim mempersoalkan bagaimana KKMM akan memastikan agensi J-Kom tidak akan disalahguna sebagai ejen propaganda kerajaan.

Berhubung isu lantikan pegawai J-Kom, beliau turut bertanya apa jaminan pihak KKMM bahawa tidak akan ada campurtangan politik dalam agensi berkenaan.

“Maka, saya menyeru agar KKMM menilai semula keperluan dan perancangan penubuhan unit ini berbanding menyahut seruan inisiatif memperkasakan agensi dan unit sedia ada agar peruntukan untuk J-Kom dapat disalurkan kepada medium yang lebih memerlukan dan kritikal seperti infrastruktur internet luar bandar atau medium pendidikan di bawah KKMM,” katanya lagi.

Berita Penuh: MalaysiaDateline

COMMENTS