Harakah buat “geli” lagi, sudah dikemaskini

Harakah buat “geli” lagi, sudah dikemaskini

Kerajaan Negeri Kedah telah meluluskan permit teroka kepada satu mineral baharu Rare Earth Element (REE) yang dianggarkan bernilai RM742.7 bilion seluruh negara di mana RM62 bilion tersimpan di bawah bumi ditemui di Daerah Sik.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, Majlis Tanah Negara telah bermesyuarat dua bulan dahulu telah meluluskan satu rangka dasar mineral negara yang akan dimuktamadkan.

“Sebelum daripada itu, kita telah meluluskan usahasama sebuah syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melakukan penerokaan,” ujarnya memaklumkan REE itu selain di Sik, terdapat juga di Ulu Muda dan Baling, termasuk sedikit di Lenggong, Perak.

Beliau juga menyifatkan penemuan tersebut adalah rezeki anugerah Allah secara tidak disangka-sangka kerana melaksanakan tuntutan beriman dan bertakwa sebagaimana janji Allah yang terdapat pada ayat 2 dan 3 surah at-Thalaq.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli akan merangka dasar-dasar yang sesuai dengan kehendak Majlis Tanah Negara berkaitan Dasar Mineral Negara supaya negara tidak lagi menjadi seperti sejarah lampau.

“Semua hasil bumi sumber-sumber asli kita diangkut untuk mempercepatkan revolusi industri Perancis di Britain di Barat menggunakan sumber asli negara-negara yang dijajah. Akhirnya mereka menjadi kaya raya, kita menjadi papa kedana terjajah.

“Anugerah-anugerah mineral yang baru ini pun kita harap Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dapat merangka supaya kekayaan itu menjadi milik penduduk di mana mineral itu ada. Kalau mineral itu timbul di Kedah, rakyat Kedah lebih dahulu yang rasai nikmatnya.

“Sama macam dasar percukaian dalam Islam. Di mana cukai itu dikutip, belanja daripada cukai itu patut diutamakan di tempat cukai itu dikutip. Kalau ada lebihan baru boleh bawa ke lain. Itu dasar Islam.

“Sama dengan mineral ini, kalau mineral ini digali ditemui di Kedah, nikmat daripada timbulnya mineral dan bahan berharga ini, patut diagihkan dulu di Kedah atau di mana sahaja tempat itu ditemui,” syarahnya mengenai dasar Islam itu.

Jelas Sanusi, REE yang ditemui itu adalah jenis yang tidak mengandungi radioaktif dan lebih mahal daripada emas di mana difahamkan sudah diketahui dalam kajian geosains sejak lebih 20 tahun dahulu, namun ketika itu belum dimajukan.

Namun kini kata beliau, penggunaan REE makin diperlukan dalam barang-barang teknologi seperti telefon pintar, komputer riba, barang-barang digital dan lain-lain yang sesuai perkembangan zaman.

“Bila dunia makin berkembang ke arah itu, permintaan kepada itu makin tinggi. Dan alhamdulillah benda itu ada di Kedah. Cuma kita nak pastikan rakyat Kedah tak nganga lah. Ada orang duduk angkut pergi, kita nganga saja. Insya-Allah.

“Lepas ini banyaklah kerja-kerja kebajikan yang boleh dilaksanakan bila Rare Earth Element ini dapat diekstrak daripada bumi kita. Ada sebahagiannya dikatakan tersimpan di bawah bandar-bandar besar.

“Yang ini kita tak boleh buat apa, tak akan nak tebuk situ kan. Jadi kita explore tempat-tempat yang belum ada penghuni lah, contohnya di hutan, di bukit. Dan cara ekstrak daripada REE ini dia tidak melibatkan perlombongan, tidak melombong, dia hanya pakai paip 4 inci, tebuk boarding itu, dan dia keluar sikit-sikit.

Sudah diluluskan permit, orang itu pun dah masuk. Cuma permit teroka ini dia tak boleh pakai mesin, tak boleh pakai jentera, dia masuk pakai manual. Dan bila dia teroka, dia temu element itu, dia kena declare kepada kerajaan,” ujarnya teruja.

Menurutnya, syarikat yang diberi permit itu berpangkalan di Kuala Lumpur dan akan bekerjasama syarikat antarabangsa serta syarikat kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 2/12/2020

COMMENTS