‘Cubaan berpaut kepada kuasa’ – Peguam

‘Cubaan berpaut kepada kuasa’ – Peguam

Tiada lagi semak dan imbang sewajarnya terhadap kuasa perdana menteri apabila Parlimen digantung susulan pengisytiharan darurat, kata sejumlah peguam.

Mereka turut mempersoalkan sama ada pengisytiharan itu, yang bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 di Malaysia, sebenarnya adalah respons kepada tindakan-tindakan politik untuk menumbangkan kerajaan.

Peguam perlembagaan New Sin Yew berkata, pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa sidang Dewan Rakyat digantung sepanjang tempoh darurat bersamaan dengan hilangnya mekanisme meneliti tindakan kerajaan.

“Jika Parlimen digantung, tiada semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan.

“Sebahagian daripada peranan Parlimen adalah menyemak tindakan kerajaan. Ia tiada lagi dengan pengisytiharan darurat,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung, Muhyiddin hari ini antara lain berkata tiada sidang Parlimen mahupun pilihan raya sepanjang darurat berkuat kuasa.

Muhyiddin juga menyebut tentang pihak tertentu yang cuba memberi tekanan agar dia mengadakan pilihan raya ketika ini. Ia dipercayai merujuk kepada segelintir pihak dalam Umno.

Bagaimanapun, Muhyiddin memberi jaminan pilihan raya akan diadakan apabila keadaan sudah cukup selamat nanti.

Seorang lagi peguam perlembagaan, Surendra Ananth berkata kini perdana menteri ada kuasa untuk membuat ordinan yang boleh menjejaskan hak asasi individu yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antaranya kebebasan bersuara dan berpersatuan, dan kesamaan di bawah undang-undang.

“Parlimen bertindak sebagai semak dan imbang…Kini perdana menteri ada kuasa yang luas untuk membuat ordinan yang boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dia berkata berdasarkan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen tidak boleh ditangguhkan melebihi enam bulan, dan kali terakhir sidang diadakan adalah pada 17 Disember tahun lalu.

“Bagaimanapun, dia boleh meluluskan undang-undang untuk menjejaskan Perkara 55, seterusnya membenarkan Parlimen digantung sepanjang tempoh darurat,” katanya lagi.

‘Cubaan berpaut kepada kuasa’

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali pula mendakwa pengisytiharan darurat adalah percubaan Muhyiddin untuk kekal berkuasa kerana dia didakwa sudah hilang sokongan majoritinya.

“Semua dapat lihat kesannya. Cubaan terdesak untuk berpaut kepada kuasa politik di saat jelas perdana menteri telah hilang majoriti.

“Satu soalah masih tidak jelas, ketika perdana menteri memberi nasihat kepada Agong (berkenaan darurat), apakah dia masih ada majoriti? Bagi saya nasihat itu perlu diteliti pihak kehakiman,” katanya kepada Malaysiakini.

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar juga menyuarakan sentimen yang sama, dan berkata darurat tidak perlu diisytihar di saat ada cara lain untuk menangani wabak Covid-19.

Dia membangkitkan bahagian ucapan Muhyiddin hari ini berkenaan pihak yang menggesa pilihan raya diadakan.

“Dia bercakap tentang gesaan untuk mengadakan pilihan raya dan dia mengambil tindakan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab.

“Bagaimanapun, laporan media mutakhir ini membayangkan dia tiada sokongan mencukupi…Dia perlu panggil sidang Parlimen dan uji sama ada masih ada sokongan (majoriti ahli Parlimen).

“Tiada keperluan untuk darurat pada masa ini kerana ia tidak memberi kebaikan kepada rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.

Sumber: MalaysiaKini

COMMENTS