Arahan kepada Ketua Whip parti pembangkang tidak sokong undi belah bahagi dari saya

Arahan kepada Ketua Whip parti pembangkang tidak sokong undi belah bahagi dari saya

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui membuat keputusan dan meminta Ketua Whip parti pembangkang agar tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurutnya, tindakan itu diambil bagi memberi ruang ahli Parlimen meneliti secara terperinci dan mendalami keseluruhan pengumuman Menteri Kewangan.

“Semestinya rakyat Malaysia terutama dari kalangan yang cukup terkesan akibat kehilangan kerja atau pendapatan menerima baik pengumuman Menteri Kewangan tersebut beserta peruntukan tambahan bagi Sabah, golongan nelayan dan petani, petugas barisan hadapan COVID-19 dan para pekerja yang mengharapkan bantuan segera.

“Walaupun rakan-rakan khususnya YB Lim Guan Eng dan YB Mohamad Sabu merasakan perlu dibuat undi belah bahagi pada waktu itu, saya telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang serta Pengerusi Pakatan Harapan untuk meminta ketua-ketua whip parti pembangkang tidak berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Bagaimanapun tegas Anwar, Ahli Parlimen berhak mempersoal perincian peruntukan tambahan yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.

“Ahli-Ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan-peruntukan ini adalah tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana Kementerian lain, apakah jumlah sebenar Belanjawan, serta kesan terhadap situasi kewangan negara, selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi.

“Beberapa mekanisme termasuk berkenaan pengeluaran dana dari KWSP dan moratorium bank juga perlu diteliti. Peluang masih wujud untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu-minggu akan datang.

“Perlu saya nyatakan di sini bahawa dalam sejarah perjalanan Parlimen Malaysia belum pernah suatu belanjawan dipinda dengan jumlah atau dengan cara seperti ini. Ini adalah tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar duluan (precedent) Parlimen,” katanya lagi.

Semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar cuba mengusulkan pengundian belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, namun tidak berjaya selepas hanya 13 ahli Parlimen menyatakan sokongan.

Ia sekaligus menyaksikan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 berjaya dilulus di peringkat dasar.

Perbahasan peringkat jawatankuasa dijangka bermula 30 November ini sehingga undian terakhir pada 15 Disember depan.

Berita penuh : AstroAwani

COMMENTS